Wednesday, June 11, 2008

Harga Naik, Apa Perlu Buat?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Minyak adalah emas hitam?

Sebagaimana dijangka oleh ramai, kebanyakan harga barangan asas dan lain-lain akan naik. Walau cuba dikawal oleh kerajaan ia masih gagal dikawal. Keluhan demi keluhan di dengari di segenap pelusuk Negara. Masing-masing melihat PETRONAS (termasuk saya) sebagai sumber duit negara, tidak dinafikan juga ramai keliru dengan fungsi dan cara pengurusan wang PETRONAS ini.

Harga Ayam

Gambar : Harga ayam : pada 7 Jun 2008 ( sumber Kosmo)

Harga minyak

Gambar : Sejarah harga minyak naik (Malaysiakini)

kambing pun senyum

Harga pasar

Gambar : Harga Barangan di pasar pada 7 jun 08 ( utusan malaysia)

Sara Hidup

PETRONAS & PELIK

Saya menjadi pelik kerana bekas orang nombor dua negara selaku bekas menteri kewangan yang kini menerajui sebuah parti politik juga kelihatan macam kurang tahu dengan pengurusan wang Petronas ini.

Namun yang paling pelik adalah apabila seorang bekas Perdana Menteri yang pernah perintah 22 tahun juga seolah-olah tidak berapa arif bagaimana urustadbir wang PETRONAS, sehingga beliau berkata :-

"250,000 tong yang dieksport sepatutnya memberi kita pulangan 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (Dua puluh tujuh bilion Ringgit). Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik Kerajaan. Kerajaan ini melimpah dengan wang. Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat lebih kurang 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga mencecah sehingga RM3 billion tiap satu. Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi. Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat ianya tidak akan mengekang kewangan Kerajaan." ( petikan )

Ayat beliau ini seolah membenarkan ‘simple math' orang awam tentang pendapatan PETRONAS yang berlipat ganda dengan kenaikan harga minyak. Saya pernah menyentuh hal ini dalam artikel yang lalu (rujuk sini )

Menteri Kewangan Kedua pernah memberitahu bahawa setiap kenaikan USD 1 kepada harga minyak dunia, kerajaan turut mendapat penambahan pendapatan bersih sebanyak RM 250 juta.

Dalam tahun 2006 pula dinyatakan bahawa setiap kenaikan USD 1 bagi satu barrel minyak akan menambah hasil bersih Negara sebanyak RM 228 Juta. Rujukan di sini

Namun sebagai balasan komen gandaan wang untung PETRONAS ini, YB Menteri Kewangan Kedua menjawab :-

"Kalaupun boleh, kita ambil keuntungan PETRONAS dan memberi subsidi kepada rakyat, supaya harga tak naik. Satu, pendapatan PETRONAS tidak akan bertahan. Akan tahan hanya 6 -7 tahun. Lepas itu, PETRONAS perlu import minyak. Kedua, bukankah tanggungjawab kita untuk menggunakan 250 million bagi setiap dolar kenaikan harga itu untuk menggunakan dengan sedemikian rupa supaya dapat pendapatan dan income yang dapat menjana ekonomi untuk masa depan anak-anak kita, cucu-cucu kita. Memang kita boleh, kita ingin buat, kita boleh bagi. Kita boleh teruskan subsidi, tapi kerajaan berpendapat bahawa keuntungan PETRONAS sepatut di gunakan untuk masa depan negara dan juga anak-anak dan cucu-cucu kita."

Inilah ayat yang boleh ‘mengunci mulut' orang yang ‘membebel' tapi jawapannya seperti ini terawang di udara dan tidak pasti adakah benar-benar digunakan untuk masa depan Negara dan anak cucu kita atau hanya anak cucu orang tertentu?.

Namun saya rasa orang seperti bekas PM sepatutnya mampu memberikan sesuatu penjelasan dengan terang berkenaan cara urus wang PETRONAS ini. Namun penjelasan seperti itu tiada. Seolah mereka tidak tahu atau sengaja ‘terpaksa' disembunyikan. Saya tidak pasti, mungkin juga ‘tersangka buruk'.

Penyelewengan oleh kakitangan awam juga menjadi faktor masalah belanjawan negara, Prof Emiritus Dr Mohd Arief berkata :-

Bagi meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak ini, kerajaan mesti mengatasi masalah ketirisan dan penyelewengan yang berlaku di peringkat persekutuan dan negeri, sebagai contoh pembelian pensil berharga RM1 untuk kegunaan pejabat kerajaan tapi kemukakan resit RM10 sebatang.

Mungkin dengan berbuat demikian, kerajaan boleh membantu rakyat meringankan beban hidup yang kian bertambah, tetapi bukan dengan mengambil laba simpanan Petronas untuk membiayai subsidi penggunaan minyak semasa yang sepatutnya dibuat untuk generasi akan datang.

YB Menteri Kewangan Kedua mengukuhkan hujjahnya dengan respon berikut pula :-

Ada juga cadangan yang diberikan, bahawa senang sahaja kita ambil LABA PETRONAS, keuntungan PETRONAS. Apa susah, kita ada minyak. Tapi, itu akan merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, sebab PETRONAS pun bukan akan mendapat untung selama-lamanya melalui minyak. Tahun 2014, habis dah. Kita tak jadi exporter lagi. Jadi, kita harus menguruskan keuntungan dan pendapatan PETRONAS dengan sedemikian rupa, supaya generasi yang akan datang, supaya anak-anak kita, cucu-cucu kita, cicit-cicit kita dapat keuntungan. Kalau kita teruskan dengan sistem subsidi yang ada sekarang, yang kita bagi kepada 10 orang yang kaya, ini tidak akan dapat memberi faedah kepada negara dalam jangka masa yang panjang. (Rujukan )

Pengerusi PETRONAS pula mengungkit kos carigali minyak yang meningkat dan kesukaran mencari minyak, hingga terpaksa menggali tempat-tempat yang tidak menghasilkan minyak yang sedikit sekitar 10 juta tong sahaja berbanding sebelum ini menumpukan kawasan yang mampu menghasilkan 100 juta tong.

Saya teringat kisah yang dicatat di dalam buku "Who Move My Chesee". Lebih baiklah kita mendapat sedikit keuntungan daripada enggan berubah dan ego untuk menumpu kepada yang banyak sahaja. Satu nasihat yang nyatakan di dalam buku tersebut :

"It's safer to search in the maze, than remain in a cheeseless situation"

Justeru, betul tindakan PETRONAS untuk menggali telaga kecil di ketika gagal menemui telaga besar. Namun yang kita bimbang kos penggalian adalah tidak seperti yang sewajarnya. Kita tidak mahu pembaziran dalam kos penggalian dan juga pengurusan. Namun bercakap sememangnya lebih mudah dari bertindak. Berharap memang lebih mudah dari realiti. Namun, at least, itu tuntutan kita dan kita suarakan.

PERUBAHAN

Saya cuba meletakkan diri saya dalam kumpulan berpendapatan kecil dan sukar (Alhamdulillah kini dalam keadaan sederhana), apakah yang patut mereka lakukan dalam menghadapi situasi kenaikkan ini?. Memang sukar.

Perubahan cara belanja mungkin salah satu penyelesaian jangka pendek buat mereka yang terkesan teruk dengan kenaikkan harga-harga ini. Teringat sekali lagi tulisan Dr Spencer Johnson :

If you do not change you can become extinct

Benar apa yang dikatakan, jika kita berdegil dengan cara lama dan tidak mahu berubah, kita mungkin akan pupus dan lemas kerana enggan mengubah sikap berbelanja dan pengurusan kita. Perubahan cara perbelanjaan mesti di peringkat individu dan juga negara sudah tentu. Lalu kerajaan mengambil keputusan mengubah pengurusan subsidi sehingga memberikan kesan terbesar buat rakyat yang belum bersedia. Sewajarnya mereka memulakan dengan peringkat atasan dahulu.

Bagi individu, saya bimbang dalam usaha mereka mencari perubahan, ada yang terperangkap dengan pujukan Syaitan hingga berubah kepada jalan yang salah.

Dahulu mereka tidak perlu ambil rasuah, kini berubah kepada ambil dan minta rasuah,

Dahulu tidak terjebak dalam judi, kini berubah kepada terjebak, kononnya peraduan SMS dan bukannya judi.

Dahulu tidak pernah endah dengan skim cepat kaya, kini terpaksa mengintai dengan harapan tinggi untuk perolehi wang tambahan.

Dahulu selalu mengira-ngira pendapatan sudut halal atau haram, kini akibat tertekan dengan harga barang, lalu berkatalah mereka:

"lantaklah..aku terdesak, Allah tahu" monolog hatinya.

Benarkah demikian mudah? Sedangkan jalan halal masih banyak dan terbuka cuma perlukan usaha.

Dahulu tidak kenal siapa ah-long, kini sudah dimasukkan dalam senarai orang yang perlu dijumpai.

Dahulu tidak pernah terfikir lakukan jenayah, sekarang mula terfikir

Ia sesuai dengan kata-kata hikmah :-

كَادَ الْفَقْرُ أَنْ يَكُونَ كُفْرًا

Ertinya : Hampir-hampirlah kefaqiran itu menjerumuskan diri dalam kekufuran ( Riwayat Abu Nuaim : Al-Munawi : sanad lemah)

Malangnya semasa mengira-ngira untuk BERUBAH, banyak yang dahulunya dilakukan ingin diteruskan, padahal ia bukanlah perkara asas yang patut diteruskan. Seperti siaran astro, steramyx, surat khabar, makan empat kali sehari (pagi, tengahari, petang dan malam), pembelian surat khabar, ringtone membazir, sms Akademi Fantasia, memasang air cond hampir 24 jam, windows shopping setiap hari minggu sehingga terangsang membeli, membeli vcd filem-filem, majalah-majalah hiburan, rokok dan lain-lain.

Ubahlah perkara sebegini jika rasa beban bertambah semakin banyak. Agar sentiasa dapat menghalang diri dari perkara haram yang menggoda.

PEMIMPIN PERLU JADI CONTOH BERUBAH

Jika tadi kita cerita berkenaan keperluan perubahan oleh orang awam. Sebagai pemimpin bertanggungjawab, agar bertepatan dengan kehendak Islam dan prinsip keadilan sejagat, saya amat setuju saranan S.S Mufti Perlis agar pemimpin memulakan kempen jimat cermat dan melepaskan sebahagian peruntukan diri sebagai Perdana Menteri, Menteri Persekutuan, Menteri Besar, Exco kerajaan negeri tidak kira pimpinan BN atau Pakatan. Saya yakin ia akan mencecah ratus juta ringgit malah mungkin billion.

Jumlah ini bolehlah dimanfaatkan untuk golongan berpendatan rendah atau menambah budjet negara untuk ‘simpanan makanan negara'. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk menghapuskan toll di lebuh raya.

Ringkasnya, rakyat tidak akan meluat dengan nasihat pemimpin jika mereka menunjukkan komitmen dan kesungguhan mereka berkorban kepentingan diri untuk rakyat. Hanya air liur yang menerang sahaja tidak lain kecuali mendatangkan meluat yang berterusan sahaja. Berikut petikan nasihat yang amat baik buat para pemimpin (rujuk ) :-

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi.

‘Umar enggan makan bahkan berkata:

"Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?". (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya.Lalu ‘Umar bertanya:

"Dari mana diperolehi ini?".

Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar:

"Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" (Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir)

TOL

Kerajaan mungkin boleh mengambil alih pengurusan toll dari syarikat-syarikat swasta kini yang boleh dibeli sekitar harga RM25 billion. Ia juga adalah cadangan Dato' Shahrir Samad (sebelum menjadi menteri) dan juga YB Rembau berkata :

"Sort out the toll issue - I think one way of mitigating the increase in petrol prices would be to reduce toll rates or abolish them out right. Abolishing toll roads would mean nationalizing these concessions with the Government buying out the remainder of the concession from the operators. Based on a blended valuation (market capitalization and discounted cashflow), PLUS and LITRAK (the concessionaire for the LDP) can be bought for around RM25 billion. That would mean no more toll on the highways operated by PLUS and LITRAK. Of course, the real cost of nationalization would be higher once maintenance is factored in. (sumber )

SPONSOR SYARIKAT GLC DAN SWASTA

Bagi menmperolehi bujdet membeli pengurusan lebuhraya, kerajaan juga sewajarnya bijak mendekati syarikat swasta yang kaya raya untuk mendapatkan bujdet tambahan bagi membantu rakyat yang semakin menderita. Ia amat sesuai dan baik dari membiarkan ia ditanggung oleh rakyat yang semakin buntu hari ni serta hanya mencadangkan orang pendapatan rendah berjimat dengan menggunakan air liur semata-mata.

Bayangkan, betapa agaknya belanja yang dikeluarkan sebuah syarikat telekomunikasi untuk menaja bolasepak piala Eropah dengan iklan ‘TIDAK BERAQAL, berambut biru dan BERKORBAN DEMI BOLA SEPAK!!. Bagimana juga kos yang dikeluarkan syarikat-syarikat lain untuk menaja pelbagai aktiviti yang bukan member kebaikan kepada asas kehidupan, kebanyakkannya bercorak hiburan semata-mata. Amat membazirkan dan merugikan. Jika pengiklanan yang mereka cari, maka penyaluran wang kepada kerajaan boleh juga diberi ruang khas iklan oleh kerajaan di RTM dan lain-lain.

Keuntungan bank-bank mega yang bebrillion ringgit satu tahun, wajar disedut sedikit bagi tujuan awam.

KAKITANGAN AWAM

Demi untuk memberikan perubahan kepada golongan awam ini, CEUPACS mencadangkan agar kerajaan membenarkan sebahagian kakitangan awam bekerja sampingan di luar waktu pejabat. Bagi saya ia kelihatan baik tetapi sebenarnya ia amat tidak baik, kerana :-

a- Pastinya kakitangan tersebut akan hilang fokus kepada tugas kerajaan. Tugasan sendiri kerap lebih diutamakan hingga mengambil masa pejabatnya.

b- Tugasan wajib di pejabat akan menjadi semakin TERLALU lambat ( sekarang sudah lambat) akibat kehilangan stamina dan tenaga.

c- Ikatan institusi keluarga semakin bermasalah kerana tumpuan mencari duit untuk menampung kehidupan menjadi priority.

d- Akan memalukan kerajaan yang seolah-olah tidak lagi mampu membayar gaji yang sebaiknya buat kakitangannya.

Saya yakin terdapat pro dan kontra dalam hal ini, namun secara peribadi saya ras abimbang dengan prestasi kerja kakitangan ini kelak.

AKHIRNYA

Kita semua adalah miskin dan Allah sahaja yang kaya. Kita sentiasa memerlukan bantuan Allah swt. Kewujudan minyak adalah dalam ruang lingkup kuasa Allah, keyakinan dunia tentang minyak yang menyebabkan naik perminataan dan harga juga adalah dalam kekuasaan Allah, global warming adalah kuasa Allah dan semuanya milik Allah,

Kita ingin semuanya baik dan menarik, namun yang kita persembahkan kepada Allah adakah semuanya baik dan seiring dengan apa yang diingini oleh Allah?!,. KIta sentiasa menuntut yang terbaik dari Allah swt namun kerap sekali mempersembahkan yang buruk kepadaNya.

FirmanNya :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَاء إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ

Ertinya : Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji ( Fatiir : 15 )

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

8 Jun 2008

Harga Minyak Naik : Nikmat Dunia Tergugat

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

MInyak oh minyak

Kenaikan harga minyak petrol dan diesel bermula 5 Jun 2008 dan tariff elektrik mulai 1 Julai 2008 menyebabkan rakyat Malaysia ramai yang mencarut, memaki dan marah, hal ini dapat dilihat di sana sini.

Ada yang tidak boleh tidur memikirkan cara mengurus belanjawan baru keluarga. Bagi keluarga yang berpendapatan jenis ‘cukup-cukup makan sebulan' pasti semakin resah dan marah, sedih dan rasa terzalim.

Di Malaysia kita ini, sebenarnya banyak isu selain kenaikkan harga-harga ini, kita ada isu murtad, riba, syirik, bomoh, tangkal, zina, maksiat, culik, sumbang mahram dan pelbagai lagi.

Namun dari banyak-banyak isu, isu kenaikan harga beras dan minyak ini yang paling meriah sambutannya dari masyarakat. Hiruk pikuk dari segenap blog dan media.Kenapa??!!

Inilah realiti masyarakat kita, kehidupan dunia sangat memberi kesan kepada minda dan hati. Berbanding kenaikan pelbagai masalah berkaitan agama yang hanya mendapat sambutan beberapa kerat kumpulan masyarakat sahaja. Malah tidak dipedulikan oleh majoritinya.

Mudahnya, apabila perut sendiri tergugat dan libatkan dunianya yang DIKASIHI barulah ramai mahu bising dan protes. Selagi belum mengenai mereka dan hanya mengugat hal ghaib akhirat sahaja, JARANG DIHIRAUKANNYA.

Kita patut bimbang dengan iman kita sekarang ini, sangat patut bimbang. Kelihatan pengaruh dunia sangat mendalam kesannya dalam jiwa.

Jika sekiranya kedua-dua jenis isu dunia dan akhirat mendapat perhatian anda sejak sekian lama. Tahniah saya ucapkan, teruskan menjaga imanmu tersebut wahai teman.

Sebagai mengulas ringkas isu kenaikan harga ini, berikut beberapa fakta secara ‘adil' dan ulasan ringkas dan spontan saya (spontan ini menyebabkan mungkin saya ada terlepas pandangan aspek-aspek lain) :-

FAKTA : Harga sebenar petrol ialah RM3, tetapi kerana kerajaan memberi diskaun 30 sen, pengguna hanya membayar RM2.70 seliter.

ULASAN :

Terima kasih namun mengurangkan subsidi dalam sebuah masyarakat yang belum bersedia akan pasti menyakitkan orang awam berpendapatan rendah dan sederhana. Maksud saya ‘bersedia' antaranya :

1- Ilmu dan skill . Purata masyarakat Malaysia terutamanya bumiputra masih terkial-kial dan mencari kehidupan dan pendapatan secara sihat. Skim cepat kaya, pelaburan haram interent, perjudian sms, rancangan hiburan masih bersarang dalam minda kebanyakkan mereka. Masyarakat sebegini masih manja dan perlukan perancangan terbaik dari kerajaan dari sudut pendidikan dan kewangan.

2- Penghapusan Rasuah : Selagi rasuah menggila dalam Negara ia pasti menyekat perkembangan skill dan kemampuan diri rakyat. Maka apabila subsidi dikurangkan, kumpulan kurang pendapatan akan terus tertindas disebabkan rasuah. Malah lebih dahsyat, rasuah akan bertambah pula akibat dari segala kenaikan ini. Lihat sahaja Negara-negara maju, pra syarat mereka adalah mesti minimakan rasuah dahulu.

3- Gaji minima ; Gaji minima diperlukan bagi membantu masyarakat kurang pendapatan mengharungi kenaikan demi kenaikan ini. Adalah amat dihargai jika gaji miniam dapat dinaikkan sedikit agar rakyat pendapatan rendah boleh menikmatinya sedikit. Gaji minima di negara-negara yang mengapungkan harga minyak mereka adalah tinggi, ini seimbang dengan harga minyak, adapun Negara kita tidak sedemikian dan kita juga belum mampu untuk menawarkan gaji minima yang tinggi.

4- Harga kereta belum wajar : Baik juga jika harga kereta sepatutnya di buka mengikut harga pasaran sebenar juga. Menurut faktanya harga kereta di Malaysia adalah antara yang termahal. Biar semua berlumba-lumba menjadi lebih kompetitif seperti Air Asia dan MAS. Mereka berlumba-lumba menawarkan harga rendah. Namun keuntungan mereka masih juga bertambah.

5- Pengangkutan Awam Belum Sedia : Saya jarang menggunakan pengangkutan awam namun saya sedar akan kurang mampunya pengangkutan awam ini untuk menampung keperluan dan permintaan sekiranya semakin ramai ahli masyarakat ingin beralih dari kenderaan sendiri kepada pengangkutan awam. Ringkasnya, ia masih belum cukup efisyen.

FAKTA : Diskaun 30 sen diberi bagi setiap liter minyak. Jika harga minyak di pasaran dunia turun, penyelarasan akan dibuat sebulan sekali, tetapi kadar diskaun 30 sen itu akan tetap diberikan.

ULASAN :

Wallahu'alam, menurut pandangan saya, ia kelihatan baik dan wajar. Namun dalam konteks realiti yang sudah naik sebegini sukar untuk turun kembali.

FAKTA : Rebat tunai bahan api akan dibayar oleh kerajaan kepada pemilik kenderaan selepas mereka membayar cukai jalan.

ULASAN :

Saya kira ini adalah teknik kerajaan agar memastikan semua pengguna yang berkelayakan membayar cukai jalan, ini mungkin kerana ramai pengguna jalanraya tidak punyai road tax yang sah. Ia serampang dua mata.

Bagaimana pula bagi keluarag miskin yang tiada kenderaan bermotor langsung?. Walaupun mereka tidak perlu mengisi minyak namun mereka masih perlu membeli barangan yang diangkut menggunakan kenderaan penjual. Sudah tentu si penjual akan menaikkan harga barangnya kelak. Bagaimana dengan rebate bagi kumpulan sasar sebegini?

Apa yang boleh membantu mereka. Kita bimbang mereka akan menjadi semakin miskin dan susah. Moga Allah membantu mereka.

FAKTA :

a- Bayaran tunai RM625 setahun diberikan kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pick up dan jip berkapasiti sehingga 2,500cc. Pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc pula mendapat bayaran tunai RM150 setahun.

b- Cukai jalan dikurangkan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak tergolong dalam kategori itu.

c- Pemilik motosikal berkapasiti enjin lebih 250cc mendapat pengurangan cukai jalan RM50.

ULASAN

Saya kira ia sebenarnya cuba bertoleransi dengan kumpulan pendapatan sederhana dan cuba mengenakan kenaikan kepada kumpulan sasar kaya sahaja. Dalam hal ini, kerajaan dilihat meletakkan cc kenderaan sebagai kayu ukur, individu itu kaya atau miskin. 2000cc kereta dan 25cc ke atas dikira kaya lalu tidak layak mendapat sebarang subsidi rebate dan petrol (kecuali 30sen sebagaimana di atas).

Persoalannya, betulkah kayu ukur sebegini?

Kerajaan juga cuba toleransi dengan memberikan rebate cukai jalan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan mewah. Ini bermakna, orang berpendapatan sederhana mendapat RM625 setahun dan orang kaya dapat RM200 setahun. Sebenar jumlah RM625 setahun hanya mungkin cukup untuk 'cover' harga beras untuk kegunaan satu-satu keluarga.

FAKTA : Harga gas memasak LPG dan gas asli kenderaan NGV kekal pada harga lama.

ULASAN

Terima kasih. Perlu diteruskan.

FAKTA : Kira-kira 59 peratus isi rumah di Malaysia yang menggunakan elektrik pada kadar 200 kilowat jam atau kurang RM43.60 sebulan tidak akan terjejas dengan struktur baru tarif elektrik.

ULASAN :


Satu tindakan yang mungkin kurang toleransi, adalah lebih wajar jika kenaikan demi kenaikan ini dibuat secara ansuran dan sedikit demi sedikit. Kita baru sahaja menghadapi kenaiakn harga beras sebanyak 80-100%. Kini diikuti minyak dan seterusnya tariff elektrik.

Harga besi dan lain-lain juga baru sahaja naik, yang membawa kesan kenaikan harga rumah dan sudah tentu sewa,

Saya faham, diwartakan penggunaan yang MELEBIHI 200 kilowatt atau RM43.60 sahaja yang AKAN NAIK. Adapun kurang dari itu TIDAK BERUBAH. Ia jelas cuba mengenakan kumpulan sasar orang kaya dan tidak mengenai golongan miskin yang kurang menggunakan elektrik secara puratanya.

Namun demikian, apabila tarif elektrik lebih RM43.60 ini naik, kilang-kilang yang menghasilkan barang makanan dan industri akan menganggung kos tambahan. Pastinya semua barang akan naik lagi. Peniaga juga pastinya menggunakan kenderaan untuk menghantar barangan. Apabila harga minyak naik, sekali lagi peniaga mendapat sebab munasabah untuk menaikkan harga. Akhirnya sampai juga kesan kenaikan kepada kumpulan miskin yang menggunakan tarif 43.60 sahaja. MAKA SEPATUNYA SABAR-SABARLAH UNTUK MENAIKKAN BEBAN ASASI.

KESIMPULAN RINGKAS

Rakyat miskin yang tiada kenderaan, terabai? Yang punyai kenderaan kurang 2000cc dapatlah RM625 setahun, pemilik kenderaan 2000cc ke atas dapat berjimat RM200 dari cukai jalan? Itu sahaja?.

Bagaimana dengan pertambahan pendapatan kerajaan. Ini yang perlu didedahkan secara telus. Malah ia juga menyebabkan Tun Dr Mahathir membuat kira-kira mudah :-

"Can the Government subsidise? I am the "adviser" to Petronas but I know very little about it beyond what is published in its accounts. What I do know may not be very accurate but should be sufficient for me to draw certain conclusions.

Roughly Malaysia produces 650,000 barrels of crude per day. We consume 400,000 barrels leaving 250,000 barrels to be exported.

Three years ago the selling price of crude was about USD30 per barrel. Today it is USD130 - an increase of USD100. There is hardly any increase in the production cost so that the extra USD100 can be considered as pure profit.

Our 250,000 barrels of export should earn us 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (twenty seven billion Ringgit).

But Petronas made a profit of well over RM70 billion, all of which belong to the Government.

By all accounts the Government is flushed with money.

But besides petrol the prices of palm oil, rubber and tin have also increased by about 400 per cent. Plantation companies and banks now earn as much as RM3 billion in profits each. Taxes paid by them must have also increased greatly.

I feel sure that maintaining the subsidy and gradually decreasing it would not hurt the Government finances."

FAKTA : Kerajaan akan memperoleh penjimatan subsidi sebanyak RM13.7 bilion setahun yang akan digunakan untuk subsidi produk makanan rakyat negara ini.

ULASAN :

Bagus dalam perancangan untuk subsidi makanan, namun subsidi makana diambil dari subsidi minyak. Maka harga makanan akan pasti naik juga. Justeru pusing-pusing semuanya ke satu destinasim, iaitu HARGA NAIK!. Gaji minima untuk kumpulan sasar miskin, masih tidak diperbaiki . Golongan bumiputra yang paling ramai miskin.

Saya juga bimbang, lagi terdesak orang bumiputra kita, lebih mudah mereka ditipu dan diperangkap oleh penyangak Ah-long, skim cepat kaya, MLM piramid, peraduan pelik, peraduan melancong percuma, elaun lumayan dari khidmat hantar barang (dadah) di keluar negara dan lain-lain. Akhirnaya semakin terdesak. Semuanya kononnya ingin mencari side income selain kerja full time mereka.

PANDANGAN ISLAM

Sukar untuk saya menulis kesemuanya di waktu ini, ringkasnya tanggungjawab sebuah kerajaan menurut Islam memang tidak mudah. Pandangan mereka perlu sentiasa lebih hadapan dari pemikiran rakyat biasa. Kerana itulah mereka pimpinan mesti dilantik dari mereka yang berkelayakan.

Mereka perlu bermiskin dahulu berbanding rakyat, gunakan dahulu harta mereka sebelum rakyat. Apa sahaja yang kurang merekalah yang perlu menyalurkan pendapatan mereka demi kebaikan rakyat. Mimpikah kita untuk mendapat pemimpin sebegini?

Kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam ; petiakn dari www.drmaza.com).

Demikian sedikit pandangan spontan saya berkenaan isu terkini terhangat. Anda juga bebas menolak dan menerimannya. Cuma dinasihatkan jangalah ada yang memaki dan mencarut di ruangan komentar saya ye. Cukuplah memberi idea dan komentar atau kritik dalam bentuk berhemah. Agar semua dapat manfaat termasuk saya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

5 Jun 2008

Hukum Peraduan SMS Menang CAMRY

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


toyota camry
Sebuah berita menyebut :-

KUALA LUMPUR : Celcom ( Malaysia ) Bhd menawarkan 100 unit Toyota Camry 2.0E 1AZ-FE kepada pelanggan pasca bayar dan pra bayarnya menerusi peraduan 'Celcom 100 Hari 100 Kereta' bermula hari ini.

i. sebuah kereta akan diberi setiap hari selama 100 hari berturut-turut kepada pemenang peraduan berkenaan.

ii. Pelanggan perkhidmatan Celcom yang berminat menyertai peraduan itu hanya perlu menaip kata kunci CARS dan hantar melalui SMS ke nombor 22222. Promosi itu terbuka kepada pelanggan sedia ada dan baru Celcom.

iii. Pelanggan yang dapat menjawab 10 soalan dengan tepat serta mendapat mata paling banyak akan dipilih sebagai pemenang.

iv. Peserta dengan mata tertinggi juga berpeluang memenangi tambahan sebuah kereta Toyota Camry model sama pada hujung minggu.

v. Setiap SMS yang dihantar dikenakan RM5.

vi. Kempen itu berlangsung selama 100 hari bermula hari ini hingga 9 September ini. Pada masa ini, Celcom mempunyai 1.5 juta pelanggan pasca bayar dan 6.3 juta pelanggan pra bayar.

vii. Beliau berkata, promosi 100 hari itu bertujuan memberi ganjaran kepada pelanggan setia atas sokongan yang diberikan kepada syarikat berkenaan

ULASAN UZAR :
Secara rasmi dan mudahnya, ia adalah peraduan yang haram di sisi Islam kerana perjudian. Ini kerana semua peserta yang menghantar SMS terdedah kepada kerugian RM 50 (kerana mesti menjawab 10 soalan terlebih dahulu, sedangkan satu sms = RM 5) atau berpeluang mendapat untung sebuah kereta. Hanya seratus orang akan berjaya dari berjuta peserta. Syarikat pasti meraih untung yang lebih berbanding peserta.
Ia tidak ubah seperti peraduan "Who Wants To Be A Millionaire" dengan sedikit perbezaan sahaja.
Peserta mungkin berkata
"Alah, apalah sangat dengan RM 5 atau RM 50 .. redha sahaja, kami tidak rasa dizalimi pun"
Namun wajib diingati, pengharaman perjudian adalah hak Allah swt dan sebarang keredhaan dalam perkara yang menjadi hak Allah adalah TERTOLAK. Redha dalam hal dosa seperti ini, adalah redha maksiat. Malah lebih dahsyat dari itu, kerdehaan dalam perilaku dosa yang mencarik hak Allah adalah akan menjadikan ia sebagai satu dosa yang lebih besar.
Mungkin juga ada yang berkata :-
"Tapi ustaz, bukankah ada manfaat untuk kita peraduan sebegini, bukan senang nak dapat peluang "
Memang benar ada manfaatnya, namun keburukannya jauh lebih besar, sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah swt sendiri :-
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya ( Al-Baqarah : 219 )
Saya teringat pernah menonton "National Geographic" yang mendokumentasikan perihal pusat perjudian di Macau. Saya masih ingat kata-kata pengusaha dan pemain judi dalam interview dengan wartawan dokumentasi itu,
"dari 10 kali main, biasanya hanya sekali menang dan 9 kali kalah".
Berikut pula info yang amat jelas dari seorang yang telah menyertai peraduan ini, saya petik dari ruangan komen di bawah. Ia sangat membuktikan ia judi yang amat menindas dan zalim.
Pada 2 Jun (iaitu tarikh bermula peraduan tersebut) saya mula hantar SMS jam 8.30 mlm. Sehingga pukul 1 pagi, keseluruhan SMS yang saya terima daripada syarikat tersebut lebih kurang 200 SMS. yang di caj RM5 ialah lebih kurang 60 SMS. Dengan harapan yang menggunung untuk memperolehi kereta tersebut, saya telah melabur sebanyak RM300.

terus terang saya katakan,saya turut menunaikan solat hajat untuk memenangi pertandingan ini. Hajat saya jika menang ialah dapatlah saya ringakan beban saya membayar hutang kereta yang sedia ada, selain dapat menggunakannya untuk buat ibadat (pergi kerja, berteduh, masjid)-- adakah tindakan saya betul ustaz??

Setiap SMS yang diterima sangat teruja dan membuatkan pelanggan akan sentiasa ingin ber SMS dan menjawab soalan. Maka, saya telah terperangkap dalam permainan ini.

Itulah sifat judi, pengusaha akan sentiasa lebih mendapat manfaat dan keuntungan. Ia sememangnya sebuah permainan yang amat buruk.
Jauhilah darinya, apatah lagi solat hajat dalam berjudi. Segeralah sampaikan kepada adik beradik, rakan-rakan dan taulan. Jangan sampai sebuah kereta Camry menyebabkan penyesalan tak sudah di alam barzakh dan akhirat kelak.
Ini pula satu lagi pengakuan penting dari pekerja di syarikat tersebut :-
Cuba baca pengakuan seorang pekerja di syarikat tersebut ini (saya petik dari ruangan komentar artikel ini). "Saya adalah seorang yang bekerja dengan xxxxxm, saya akui memang saya menentang sekeras-kerasnya peraduan ini yang memang jelas berunsur perjudian.. Ada jugak kenalan-kenalan yang dah terjebak dengan peraduan ni dan ada juga customer yang tanya dengan saya bila nak dapat kereta sedangkan diorang ada yang telah melabur sebanyak RM3000++ (ada bukti) tapi masih belum menang... memang agak memeranjatkn saya apabila ada yang sanggup belanja beribu-ribu untuk peraduan ni..."
Bayangkan betapa ghairahnya orang di zaman ini dalam bab duit dan harta segera, sehingga mudah kerap ditipu, diperdaya dan terjebak judi. Mereka berlumba-lumba menjawab soalan dari sms CELCOM ini kerana ingin mendapat mata tertinggi setiap hari bagi meraih sebuah kereta CAMRY, hingga terkorban RM 3000 sehari !! tanpa camry, tetapi hanya minyak yang naik harga RM 0.78 seliter.
Pihak syariikat cuba mempertahankan tindakannya dengan mendakwa bahawa peserta tidak dizalimi kerana dengan setiap RM5 itu, syarikat akan memberikan wallpaper dan buku koleksi gambar kereta kepada pelanggan. Atas alasan itu mereka CUBA mendakw aia halal dan pelanggan tiada kerugian.
Sebanranya, Ia adalah satu helah keji perjudi an kerana hakikatnya tiada siapa yang inginkan wallpaper itu, semua yangmenyertainya adalah menumpukan kepada kereta/. SIla baca pengakuan seorang yang menyertainya ini:-
Saya join peraduan ni bermula 3/6/06 hingga 6/6/08 dan mdapat poin sbyk 1,310,000 dan duit saya telah habis lebih kurang RM 1250.tapi tiada sebarang hasil & kemudian baru saya sedar yg ini adalah penipuan kerana setiap sms yg dicaj rm5 tu untuk kita beli wallpaper gallery yg sebenarnya kita tak nak pun tp terpaksa jugak kerana nk kan toyota camry tu.celcom jugak mhantar kata2 semangat setiap kali soalan djawab dgn betul hingga kita rasa seolah kita betul2 akan menang. Sekarang saya dah insaf.. (Petikan dari ruangan komen)
Akhirnya firman Allah s.w.t tentang pengharaman judi yang disamakan dengan najis dan kerja Syaitan:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90 )
Bagi pihak saya, saya telah memaklumkan isu ini kepada YB Dato' Ahmad Zahid Hamidi dan juga beberapa orang Mufti. Moga mereka dapat membantu umat Islam sesegera yang mungkin melalui kuasa dan autoriti mereka.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
3 Jun 2008

Monday, June 02, 2008

MEMELIHARA NIKMAT KEAMANAN DAN MAKANAN

Photobucket

Firman Allah SWT :

Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah) (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.(QS al Quraisy)

Ayat di atas adalah satu tempelak dari Allah SWT terhadap orang-orang Quraisy yang lupa diri lantas menentang Allah dan rasulNya serta tidak selesa dengan peraturan hidup Allah .Mereka lupa bahawa mereka terselamat dari dua perkara asas kehidupan ini iaitu bencana kelaparan walaupun bentuk muka bumi mereka yang kering kontang dan mereka terselamat dari diancam ketakutan serangan musuh walaupun mereka tidak mempunyai pasukan tentera yang digeruni.Keistimewaan ini mereka perolehi kerana rahmat Allah meletakkan mereka mendiami penempatan berhampiran dengan Kaabah yang mempunyai kedudukan di mata dunia ketika itu.

Ayat di atas menekankan dua isu penting demi kebahagiaan kehidupan ini yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak iaitu pertama perlunya keamanan dan ketenteraman dan yang kedua jauh dari kebuluran dan mudah mendapat makanan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. Kedua-dua perkara ini perlu bergerak seiring .Apa gunanya makanan yang banyak tetapi hidup dihimpit ketakutan .Makanan yang lazatpun nescaya tidak akan menyelerakan kita.Begitu juga makanan yang sedikit dan sukar diperolehi akan menggugat keamanan masyarakat kerana akan berlaku rompakan, kecurian penipuan dan sebagainya.

Demi pentingnya dua isu ini, Nabi Ibrahim a.s pernah berdoa kepada Allah SWT agar dianugerahkan kemananan dan cukup makan kepada tanah Mekah.Firman Allah SWT:

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, (QS Al Baqarah 126)

Negara Malaysia yang kita cintai ini juga tidak terkecuali dari memakai formula kebahagian kehidupan ini iaitu perlu aman dan tidak berlaku kebuluran.Kita sebagai rakyat Malaysia perlu prihatin dalam kedua-dua isu yang ditekankan dalam Al Quran tadi.Tidak kiralah samada kita tergolong dalam kategori orang kaya atau miskin ,berpangkat atau tidak kerana jika berlaku kepincangan dalam sesuatu perkara , sengsaranya akan dirasai semua.

Sebagai rakyat yang prihatin soal keamanan Negara perlu melihat perkembangan mutakhir di Negara kita dengan penuh teliti.Keamanan sesebuah Negara perlu dipelihara sepanjang masa .Maka ditubuhkan beberapa agensi sebagai front line atau baris hadapan kepada rakyat untuk memastikan keamanan terjaga dan keadilan terbela.Antara institusi penting dalam merealisasikan agar keamanan dan keadilan terjaga dengan baik ialah institusi kehakiman untuk menjamin keadilan,institusi polis , badan pencegah rasuah , kastam , imigresen dan beberapa agensi yang lain.Maka mereka yang menganggotai barisan hadapan ini mestilah tidak terlibat dalam perkara-perkara yang mengundang keresahan rakyat .Masalah rasuah , ketidak telusan , salah guna kuasa , pecah amanah dan lain-lain kerenah maksiat dan mungkar serta anti undang-undang dan perlembagaan sepatutnya langsung tidak terkait dengan institusi-institusi ini.Marilah kita berdoa agar kita terselamat dari bencana kemanusiaan ini.Mari kita jangan memberi merit kepada mereka yang terlibat.

Photobucket

Isu kedua yang menjadi penekanan al quran ialah isu makanan yang mencukupi.Hari ini kita sekelian sebagai penduduk Negara yang sama-sama kita cintai ini sedang menghadapi isu kenaikan harga barangan keperluan harian dengan kadar yang agak meresahkan.Mungkin sebahagian kita tidak berapa terasa kerana Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya kepada kita. Tetapi bayangkan orang-orang kampong yang tidak terlibat dalam kenaikan gaji seperti penjawat awam sebelum ini , tentunya bebanan mereka bertambah. Pekerja sektor awam pun rasanya tak akan tersenyum sebab tak ada makna ada kenaikan gaji kalau pada masa yg sama lebih banyak harga barang / perkhidmatan dinaikkan harga.Golongan berpendapatan tinggi sudah tentu tidak akan merasai apa-apa. Kata orang tak surut pun duit.

Menurut teori 'Hierachy of Needs' oleh Marslow keperluan utama manusia adalah 'basic needs' yakni makanan, pakaian dan tempat tinggal. Percayalah walaupun pelbagai pembangunan disogokkan tetapi rakyat biasa tidak akan ambil pusing sekiranya perkara2 asas berkenaan masih gagal dipenuhi.Yang untungnya orang-orang asing yang kaya .

Marilah kita bertindak menyelamatkan umat ini daripada ancaman dua perkara asas kehidupan ini iaitu ketakutan dan kebuluran dengan melkukan perkara-perkara berikut;-

PERTAMA:Mari kita kekalkan kemanan dan tidak berlaku kebuluran di Negara kita dengan kita menjauhi kufur nikmat dengan kita mengekang kemaksiatan dan kemungkaran .Setiap pihak dalam peringkat individu , keluarga, masyarakat , pemimpin , penjawat awam serta swasta mestilah jijik kepada maksiat dan kemungkaran kerana ia adalah lambang kekufuran sedangkan kekufuran itu akan menghilangkan nikmat keamanan dan mudah mendapat makanan.

Firman Allah SWT

Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yangmereka telah lakukan.

(QS An Nhl 113)

KEDUA: Elakkan gejala 'terlalu mewah' yang melanda golongan elitis khususnya yang diberi amanah oleh orang ramai dan rakyat sehingga telah mula 'lalai dan lupa' kpd agenda perjuangan sebenar tetapi terlebih 'rakus' dalam mengejar agenda peribadi bukan lagi agenda memartabatkan umat.Orang serupa ini cukuplah sekali peluang yang telah kita berikan tetapi tidak untuk kali keduanya.

KETIGA:Setiap pihak jangan merasa curiga apabila diajak kepada system hidup Islam ,jangan merasa malu untuk taubat kepada Allah akibat keterlanjuran pada masa lalu , jangan toleh ke kiri atau ke kanan untuk terus mendekati Allah menerusi ketaatan kita kepadaNya dan menjauhi laranganNya.Firman Allah SWT:

Dan mereka berkata: "Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami". Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk

mengetahuinya (serta bersyukur).(QS Al Qasas 57)

Hj Zamri Hashim

710914-08-5159

Pegawai Hal Ehwal Islam

Jabatan Mufti Perak

Tingkat 5 Kompleks Islam

30000 Ipoh

013-5200914

[Dipetik dari laman web Jabatan Mufti Perak]