Friday, January 05, 2007

Imam Hanafi sanggup mati pertahan ilmu

IMAM Hanafi adalah pengasas mazhab Hanafi. Nama sebenar beliau ialah Nu’man bin Tsabit. Beliau juga dikenali dengan panggilan Imam Hanifah.


Lahir pada tahun 80 Hijrah, beliau adalah seorang berjiwa besar dan berakhlak tinggi. Beliau seorang yang bijak dalam ilmu pengetahuan. Cekap memberikan satu-satu keputusan bagi masalah yang dihadapi.

Disebabkan beliau seorang berpengetahuan, bijak dan berakhlak mulia, maka beliau dapat membuat perhubungan rapat dengan pembesar negara. Beliau mendapat tempat baik dalam masyarakat dan berjaya menyandang jawatan tinggi dalam pemerintahan.

Iman Abu Hanifah terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fiqh di Iraq. Beliau juga sebagai ketua ahli fikir (ahli ra’u). Golongan cerdik pandai pada masa itu menyifatkan beliau sebagai ‘akal dalam ilmu pengetahuan.’

Beliau juga ditawarkan pelbagai jawatan oleh kerajaan berdaulat Bani Abasiyyah. Imam Hanifah diminta memegang jawatan setiausaha kerajaan, bendahari dan kadi. Tetapi semua jawatan itu ditolak olehnya kerana kewarakannya dan tidak mahu memegang jawatan rasmi.

Imam Hanafi banyak kali dijatuhkan hukuman oleh kerajaan kerana membangkang kehendak Khalifah. Gabenor Yazid bin Hurairah melantik Imam Hanafi menjadi kadi di kota Kufah, tetapi Imam Hanafi tetap menolaknya.

Gabenor Yazid marah apabila Imam Hanafi tidak mahu menerima pelantikannya. Baginda berkata: "Kalau dia tetap tidak mahu menerima jawatan yang ditawarkan, pukullah dia."

Ketika kerajaan Islam dalam kuasa kerajaan Bani Umaiyyah, Imam Hanafi dilantik memegang jawatan tinggi, tetapi beliau tetap menolak dan memilih hukuman. Imam Hanafi dipenjara dan dikenakan rotan sebanyak 110 kali. Setiap hari beliau dirotan sebanyak 10 kali, ketika itu usia beliau mencapai 50 tahun.

Apabila Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur memerintah kerajaan Bani Abbasiyyah, Imam Hanafi dilantik sebagai kadi di Baghdad. Beliau dipanggil untuk menghadap khalifah.

Khalifah memaksa beliau dengan bersumpah untuk menerima jawatan yang diberikan. Tetapi Imam Hanafi menolak dengan bersumpah.

Seorang pegawai berkata: "Apakah tuan guru (Imam Hanafi) tetap menolak titah baginda, sedangkan baginda telah bersumpah agar tuan guru menerima jawatan itu."

Imam Hanafi berkata: "Khalifah lebih layak membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar kifarat sumpah saya."

Imam Hanafi kemudian dipenjara hingga satu tempoh diputuskan khalifah kerana menolak jawatan itu.

Selepas sekian lama dalam penjara, beliau dihadapkan kepada khalifah untuk ditanya lagi sama ada sedia menerima jawatan itu atau tidak. Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya, menolak jawatan itu.

Khalifah berkata: "Wahai Nu’man, adakah kamu suka dengan keadaan kamu seperti sekarang ini?"

Imam Hanafi menjawab: "Semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah dan janganlah engkau bersubahat dalam kepercayaan engkau dengan orang yang tidak takut kepada Allah.

“Demi Allah, saya bukanlah orang yang dapat dipercayai pada waktu tenang. Jadi, bagaimanakah saya dapat dipercayai pada waktu marah? Sebenarnya saya tidak patut ditawarkan jawatan seperti itu."

Khalifah berkata dengan marah: "Kamu berdusta, kamu memang layak memegang jawatan itu."

Imam Hanafi berkata: "Ya Amirul Mukminin, tuanku sendiri telah mengatakan saya pendusta, kalau begitu bagaimanakah tuanku hendak melantik seorang pendusta memegang jawatan itu."

Khalifah sangat marah sebab Imam Hanafi dapat menangkis kata-katanya. Kemudian, baginda memerintahkan supaya Imam Hanafi dimasukkan kembali ke dalam penjara.

Dalam riwayat lain menerangkan bahawa Khalifah Abu Jaafar memanggil Imam Hanafi bersama dua ulama lain bernama Imam Sufyan Al-Tsaury dan Syarik untuk diserahkan jawatan dalam kerajaan.

Mereka bertiga diberi tugas kadi. Khalifah berkata kepada penguat kuasanya: "Hantarkan ketiga-tiganya ke tempat tugas masing-masing dan kalau ada sesiapa yang menolak jawatan itu, pukul dia dengan 100 kali cemeti."

Imam Syarik menerima jawatan itu, sementara Imam Tsaury melarikan diri. Imam Hanafi pula tetap dengan pendiriannya tidak mahu menerima jawatan itu. Beliau dipenjara dan disebat serta lehernya dikalungkan dengan rantai besi yang berat.

Imam Hanafi walaupun menerima seksaan berat, tetap menolak jawatan yang ditawarkan itu. Khalifah tidak tahu apa hendak dibuat terhadap Imam Hanafi yang masih degil. Segala ikhtiar baginda untuk memaksa Imam Hanafi menerima jawatan itu, sia-sia.

Akhirnya, khalifah mengambil keputusan dengan memperalatkan ibu Imam Hanafi untuk memujuk anaknya. Setiap hari, ibu tua itu ke penjara memujuk anaknya.

"Wahai anakku yang dikasihi, buangkan pengetahuan yang ada padamu, kerana kamu tidak mendapat apa-apa melainkan seksa pukulan, sebatan dan rantai besi," pujuk ibu Imam Hanafi supaya Imam Hanafi menerima jawatan itu.

Imam Hanafi berkata: “Ibu, kalau saya menghendaki kemewahan hidup di dunia ini, sudah tentu saya tidak disebat dan dipenjarakan.

“Tetapi, saya mahukan keredaan Allah semata-mata dan memelihara ilmu pengetahuan yang saya dapat.

“Saya tidak akan sekali-kali memalingkan pengetahuan yang saya jaga selama ini kepada kebinasaan yang dimurkai oleh Allah.”

Pujukan ibunya juga tidak berhasil. Ini membuat khalifah hilang sabar.

Imam Hanafi yang sudah tua dikenakan hukuman yang berat lagi. Setiap hari beliau disebat. Semua ini tidak dapat mengubah pendirian Imam Hanafi.

Pada suatu hari, Imam Hanafi dipanggil khalifah. Beliau keluar dari penjara dan dikawal ketat oleh polis penjara. Dengan leher dan kaki yang dirantai, beliau dibawa menghadap khalifah.

Khalifah berkata: "Minumlah." Imam Hanafi tidak terus minum. Khalifah memaksa Imam Hanafi minum minuman yang telah dicampur racun itu.

Selepas dipaksa, Imam Hanafi pun terus minum. Selepas minum, beliau dihantar semula ke penjara. Beberapa ketika kemudian, beliau merasakan badannya panas dan kepalanya pening.

Imam Hanafi merasakan ajalnya sudah hampir. Beliau sujud kepada Allah dengan khusyuk. Lama beliau sujud dan akhirnya beliau kembali kepada Allah dalam keadaan sujud.


Imam Malek