Tuesday, June 28, 2011

Hijrah di kala Israa' Mi'raj


سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  
Al-Israa': 1

Ayat pertama dari Surah Al-Israa' ini merupakan kisah yang dialami Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad (Sollallahu Alaihi Wasallam). Apabila kisah ini diceritakan pada orang ramai, Abu Jahal orang yang paling gembira kerana dia rasakan inilah masa yang sesuai untuk buktikan Muhammad ini sebenarnya tidak waras. Manakah mungkin Muhammad dapat ke Masjid Al-Aqsa dan ke Sidratul Muntaha dalam satu malam? Memang tak logik!!

Tetapi cerita Nabi Muhammad ini dipercayai bulat-bulat oleh Saidina Abu Bakar, sahabat baginda nabi. Itulah beza keimanan, ketaqwaan antara orang kafir dan orang mukmin sejati. Kepercayaan Saidina Abu Bakar itu sehingga kini menjadi bukti tentang kehebatan kepercayaan yang diletakkan pada Nabi Muhammad oleh para sahabat. Dipendekkan cerita, niat Abu Jahal tidak kesampaian untuk memalukan Rasulullah, malah kisah ini makin diterima oleh ummat Nabi Muhammad sehingga kini. Kisah ini boleh dibaca disini. 

Persoalan sekarang, bagaimana kepercayaan kita terhadap kisah Israa' Mi'raj ini. Adakah kita terima kisah ini sebagaimana Saidina Abu Bakar atau Abu Jahal. Alhamdulillah jika kepercayaan kita sepertimana Saidina Abu Bakar. Tetapi bukan semudah itu kawan-kawan. Jika hari ini kita masih tinggal solat, membuka aurat, menderhakai ibubapa, berdua-duan bermaksiat, jangan harap taraf kepercayaan kita setanding Saidina Abu Bakar. Mungkin kita hanya setaraf Abu Jahal, nauzubillah...

Dikala hampir ulangtahun Isra' Mi'raj ini marilah kita sama-sama muhasabah diri, termasuk diri saya. Apa yang telah kita lakukan yang boleh menyebabkan kita bangga akan diri kita dan bermakna untuk ummat Islam? Tepuk dada tanya iman... Jika kita masih ditakuk lama, jom berhijrah kearah lebih baik. Jadikan tarikh ini titik tolak hijrah seperti mana apa yang Nabi Muhammad rasa. Nikmat tak terkata selepas dijemput Jibril ke Sidratul Muntaha.

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."
~HR Muslim & Bukhari~

No comments:

Post a Comment