Wednesday, October 26, 2011

Pakaian Bakal Bidadari Syurga


'Alhamdulillah, semoga kita semua terus berada dibawah rahmat-Nya'

Jika bertanyakan kepada semua wanita Islam tentang bidadari syurga, pastinya mereka cemburu. Manakan tidaknya, bidadari syurga mempunyai:
  1. Mahkotanya lebih baik daripada apa yang ada didunia.
  2. Rambut bidadari itu sangat panjang dan cantik.
  3. Mata bidadari sangat putih dan korneanya sangat hitam.
  4. Wajah bidadari cantik begitu cerah dan bercahaya.
  5. Ludah bidadari bagai madu, sehingga mampu membuat lautan menjadi manis.
  6. Tangan bidadari itu sangat indah dan bercahaya.
  7. Kukunya sebaik-baik perhiasan.
  8. Kulit bidadari sangatlah halus dan lembut, bagaikan putih telur yang sangat lembut.
  9. Tubuhnya suci dari seluruh kotoran wanita dunia.
Macamana kepada kaum hawa? Cemburu ke? Siapa yang ada ciri-ciri bidadari tu? Sudah pasti tidak ada, inilah yang dikatakan nikmat syurga untuk lelaki. 

Perlu cemburu ke?
Bagi wanita, anda tidak perlu cemburu. Ada jalan untuk menjadi lebih baik dari bidadari. Rasulullah Sallallahu'alaihi wa Sallam pernah bersabda:

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi Muhammad S.A.W, katanya di dalam sebuah hadis yang panjang: Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?" Baginda menjawab, "Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin". Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?" Baginda menjawab, "Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning... (hingga akhir hadis)" [Riwayat al-Tabrani]



Bagaimana mahu jadi lebih baik dari bidadari?
Allah itu Maha Adil. Setiap apa yang difirman akan benar-benar dilaksanakan. Percayalah, dengan usaha kerana-Nya, wanita solehah akan diberi ganjaran setimpal. Antara ciri-ciri wanita yang dikatakan bakal bidadari ini adalah menjaga auratnya. Jika diperhatikan senarai ciri-ciri bidadari diatas, hampir semuanya melibatkan aurat; rambut, kulit, tubuh dan lain-lain. Jagalah aurat, ia merupakan jalan menjadi ketua bidadari syurga.

Aurat menurut al-Quran.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." 
An-Nur:31
  1. Jangan perlihatkan perhiasan tubuh (bentuk badan, lain-lain anggota selain wajah & tapak tangan). Apa yang ada di wanita adalah perhiasan, jagalah sebaik-baiknya. 
  2. Menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala. Labuhkan tudung hingga menutup kawasan dada. Pastikan tiada pandangan bukan mahram mampu melihat bentuk kawasan dada. 
  3. Perhiasan tubuh wanita hanya boleh dilihat oleh mahram; Suami, bapa, bapa mertua, anak-anak, anak-anak tiri, adik beradik, anak saudara, perempuan-perempuan Islam, hamba-hamba, orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, dan kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.
  4. Jangan memakai perhiasan dikaki yang mampu dilihat atau didengar oleh bukan mahram seperti memakai gelang yang mempunyai loceng. 
Aurat menurut Hadis
  1.  Janganlah berpakaian nipis & ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh. Ia boleh menyebabkan kaum adam tidak senang melihat sehingga cenderung kaum lelaki kepada maksiat. Dalam kata lain, janganlah membuat gangguan seksual kepada lelaki.
  2. Janganlah menyanggul rambut dalam tudung seperti bonggol-bonggol unta. Jelas dalam hadis melarang pemakaian tudung seperti ini.
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)

“Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka (isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (nipis & ketat). Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”- (Riwayat Ahmad)

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)

Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak.

Kenapa perlu tutup aurat?
Setiap apa yang dilarang,mesti ada hikmahnya. Dunia hari ini makin teruk, segenap penjuru punyai syaitan bertopengkan manusia. Susah nak dibezakan manusia mana yang bertaqwa dan mana pula yang bermuka-muka. Peliharalah aurat, takut-takut manusia separuh syaitan ini mengambil kesempatan. Cegahlah jenayah seksual dengan cara menjaga aurat.

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)

Jadikanlah pakaian yang sempurna tu sebagai baju seragam yang melambangkan identiti Islam. Tanpa identiti, siaplah kita untuk dipandang Allah, sedangkan Allah berfirman tentang perhiasan manusia adalah pakaian menutup aurat.

" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)

Akhir sekali, menutup aurat bukan sesuatu pilihan. Jika hendak menunggu seru, menunggu hidayah sampai bila? Allah telah kurniakan kepada hamba-hambanya masa untuk berubah. Perlukah kita tunggu sakit baru hendak berubah, tidak sama sekali. Ia bukanlah jalan terbaik, mati bukan perkara yang boleh dijangka, jika telah sampai ajalnya, maka tidak akan ada pertangguhan masa. Firman Allah di dalam al-Quran:

"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan." Al-A'raf:34

Hidup ini bukan lama, hidup ini hanya persinggahan. Persinggahan untuk menguji sejauh mana taqwa hamba-hamba Allah. Ia bukanlah tempat berfesyen & juga berhibur, tiada makna jika kamu cantik, kaya harta dunia tetapi tidak tutup aurat dan miskin hati.

"Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk : 2)

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu"  (Riwayat Muslim)

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)

p/s: Bagi lelaki, jaga pandangan anda!!

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." An-Nur:30

~Jika tidak mampu menjadi yang sempurna, berusahalah jadi yang terbaik~ 

No comments:

Post a Comment