Sunday, October 15, 2006

Contohi iltizam Rasulullah gemilangkan Islam

AGAMA Islam yang dibawa oleh Rasulullah menganjurkan nilai murni dan luhur. Ia digambarkan melalui keperibadian baginda yang memiliki akhlak mulia, sederhana dan suka melakukan kebaikan sesama makhluk. Ciri yang dimiliki oleh Rasulullah ini menyumbang kepada keamanan dan memberi rahmat kepada alam sejagat.Keamanan yang dibawa oleh Rasulullah dibuktikan apabila masyarakat Arab jahiliah yang sebelum ini hidup dalam bermusuhan berjaya membina tamadun manusia yang sangat mengagumkan. Kehebatan dan kemasyhuran bangsa Arab tersebar dalam panji Islam ke seluruh pelosok dunia. Ketika bumi Eropah masih hidup dalam zaman kegelapan, bangsa Arab sudah mencipta kejayaan yang meliputi pelbagai bidang seperti astronomi, ilmu sains, perubatan, ekonomi dan sebagainya. Rahsia di sebalik kecemerlangan ini ialah keamanan yang dibawa oleh Islam dan perjuangannya hingga Islam menjadi agama yang dikagumi dan disegani.Agama Islam membawa kesejahteraan. Ketika Rasulullah menyelesaikan masalah masyarakat Islam, Baginda sentiasa menjurus kepada keamanan dan kedamaian. Demikian jugalah sikap Baginda ketika berhadapan dengan musuh.Firman Allah bermaksud: “Allah tidak melarang kamu (berbuat baik dan berlaku adil) kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah (hanya) melarang kamu menjadikan sebagai kawan orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan mereka membantu (orang lain) mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9)Dalam berdakwah, Rasulullah tidak mendahulukan menghukum. Sebaliknya, Baginda sentiasa mengajar sahabat bahawa mendidik adalah lebih utama. Ini dapat disaksikan dalam peristiwa seorang Arab Badwi yang kencing dalam masjid. Sikap lemah lembut Rasulullah menggambarkan sifat rahmat yang dibawa oleh Baginda yang melahirkan perasaan kasih sayang di kalangan umat Islam. Kekecohan dan kekalutan bukan sifat Baginda.Islam perlu dilihat sebagai agama yang membawa keselamatan dan keamanan sama ada kepada yang mukmin atau kafir. Kekeliruan di hati masyarakat dunia, apatah lagi di mata musuh Islam perlu diperbaiki.Apabila syura menjadi keutamaan Rasulullah, maka itu juga yang sepatutnya menjadi keutamaan umat Islam masa kini. Jika Baginda dapat bertolak ansur dengan kaum Musyrikin dalam Perjanjian Hudaibiah, maka tidak ada sebab kita tidak boleh mengamalkan sikap sedemikian.Kebijaksanaan yang dipamerkan oleh Rasulullah hendaklah dicontohi, terutama mereka yang mendukung dakwah Islam. Agama Islam yang cemerlang perlu dizahirkan kegemilangannya melalui tindak-tanduk penganutnya. Sifat agama Islam yang mementingkan keselamatan mesti ditonjolkan melalui tutur kata dan tingkah laku berhemat. Perkataan berbentuk makian, ancaman dan penghinaan sesama Islam perlu dihentikan kerana ia membawa gambaran bertentangan dengan Islam yang sebenar.Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang membicarakan seseorang lain dengan sesuatu yang tidak ada padanya kerana hendak mengaibkannya, nescaya Allah akan mengurungnya dalam neraka jahanam hingga dia datang untuk membebaskan apa yang dikatakannya mengenai orang itu.” (Hadis riwayat at-Tabrani)Setiap orang Islam perlu menyedari betapa pentingnya keamanan dan keselamatan dipelihara. Malah, kesedaran ini hendaklah diikuti dengan usaha penuh iltizam.Sesungguhnya keselamatan dan kesejahteraan di dunia berkait rapat juga dengan kejayaan hidup kita di akhirat nanti.

Imam Malek

No comments:

Post a Comment