Saturday, July 02, 2011

Bukankah semua lelaki itu adalah imam?


وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."
(Al-Furqaan: 74)

Imam biasanya dikenali sebagai seorang pemimpin, ketua ketika solat berjemaah. Sebenarnya tugas imam bukan sahaja terhad pada solat semata-mata,tetapi juga pemimpin dalam masyarakat mahupun keluarga.

Siapa boleh jadi imam?
Persoalannya siapa boleh jadi imam. Kita semua boleh ke? Jom tengok syarat-syarat imam:
1.Islam
2.Berakal & waras.
3.Baligh.
4.Lelaki.
5.Suci daripada hadas dan kekotoran.
6.Baik bacaannya dan mengetahui rukun-rukun solat.
7.Bukan makmum kepada jemaah lain.

Keutamaan diberi kepada orang:
1.Sihat daripada keuzuran.
9.Paling faqih dan alim mengenai hukum solat
10.Fasih al-Quran & tajwidnya.

Ramai yang mengelak menjadi imam kerana kurang yakin akan bacaan Quran mereka. Kita sebagai muslim yang sejati pasti akan cuba belajar sempurna dalam bacaan, insyaAllah. Hanya perlukan bacaan yang baik, bukannya bacaan yang amat sedap. Ini bukan pertandingan lagu. Dalam masa yang sama kita diwajibkan mendalami hukum hakam solat seperti mana solat Rasulullah. Gesaan Rasulullah dalam hadisnya:

"Solatlah kamu sepertimana engkau melihat aku solat."
(HR Al-Bukhari & Muslim)

Imam adalah pemimpin keluarga.
Ya, lelaki adalah imam dalam keluarga. Solat berjemaah setiap waktu amat digalakkan dalam sesuatu rumah. Sifat dan peranan lelaki sebagai pemimpin kepada keluarga bukan sahaja terhad kepada membentuk diri sebagai seorang mukmin yang sejati, lelaki juga perlu membawa keluarganya ke gerbang kejayaan yang hakiki. Ini adalah sifat sebenar bagi orang yang berjaya, kerana mereka yang berjaya bukanlah dari golongan yang berjaya sendirian. Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersama-sama dengannya. Dan sudah tentulah orang lain yang paling utama untuk dibawa bersama ke mercu kejayaan adalah isteri dan anak-anak. Moga-moga tarbiah yang dijalankan ketika bermulanya sebuah keluarga meresap kepada zuriat-zuriat yang bertaqwa. Teringat pada satu pepatah Arab:

"Kejayaan seorang pemimpin bukan diukur seramai mana pengikutnya, tetapi diukur seramai mana pemimpin yang dilahirkannya."
 
Jika dihayati maksud ayat 74, Surah Al-Furqaan itu, ayat terakhir adalah "Jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.". Doa ini sesuai didoakan oleh pemimpin-pemimpin yang baik. Pendek kata, doa ini mengajar kepada kita supaya membentuk diri agar menjadi seorang yang bertaqwa, dan dari situlah Allah akan melapangkan dada isteri dan anak-anaknya untuk menyusuri jalan taqwa yang sama. Di sinilah letaknya soal kepimpinan melalui teladan, mengajar melalui tingkah laku sebagai contoh yang terbaik dalam keluarga.

Sifat imam yang bagus!
Jadilah imam yang bukan sahaja diikuti dalam solat, tetapi diikuti gerak gerinya, karismanya, kepimpinannya & juga ilmunya. Imam perlu serba boleh & tahu membuat keputusan dan nasihat untuk masyarakat setempat. Jangan pula imam yang memberi contoh yang buruk kepada orang sekelilingnya. Sebagai contoh, imam perlu akur dengan hukum hakam syara'. Imam tidak boleh merokok kerana keburukannya lebih banyak dari kebaikan. Barulah remaja atau orang setempat terikut-ikut dengan tauladan yang diberikan imam tadi.

Jika anda lelaki, maknanya anda layak menjadi imam... InsyaAllah.

"Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang yang dibawah pimpinannya"
(Hadis sahih riwayat Bukhari)

p/s: Siapa nak jadi makmum tetap aku? :p

No comments:

Post a Comment