Friday, March 07, 2008

BERKARISMA MACAM RASULULLAH

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat, Saidina Abu Bakar r.a terus memegang teraju pemerintahan sebagaimana yang diamanahkan oleh baginda s.a.w. Keadaan ini menyebabkan beberapa kelompok masyarakat Arab bertukar kembali menjadi kafir. Saidina Umar r.a bertanya Saidina Abu Bakar: Bagaimana kamu akan memerangi manusia sedangkan Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadah. Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia dan hartanya bebas daripada aku kecuali apa yang dibenarkan oleh syariat dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya. Abu Bakar menjawab: Demi Allah aku akan memerangi mereka yang membezakan antara sembahyang dan zakat kerana zakat merupakan tuntutan terhadap harta. Demi Allah, andaikata mereka enggan membayar zakat tersebut sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, aku tetap akan memerangi mereka.
(Sahih Muslim: hadis no. 29)

Penerangan Hadis:
Hadis ini menunjukkan betapa susah untuk menerima pengganti pemerintahan selepas wafatnya Rasulullah SAW, di mana ada golongan yang tidak mahu berbaiah dan tidak mahu memberikan ketaatan kepada pemimpin yang baru dilantik.
Walaupun kini suasana berubah, namun tempias ciri-ciri masyarakat dahulu tetap ada pada setiap bangsa. Kini tiba masanya masyarakat Islam, Melayu malah seluruh rakyat Malaysia akan menghadapi kemungkinan transisi pertukaran kepimpinan. Saat ini segalanya penuh emosi, ada yang sukar melupakan kepimpinan lama, malah turut membandingkan yang lama dan yang baru.
Perlu diingat, segala yang berlaku merupakan sunnatullah. Segala pertukaran, kejadian, musibah dsb adalah ketentuan Ilahi. Sejauh mana kita sanggup menghadapinya, itu adalah persoalan kita yang perlu difikirkan secara rasional, terbuka di samping memperjuangkan syiar Islam.

Kajian oleh ilmuwan Islam tentang kepimpinan karismatik menumpukan kepada mengenali perilaku yang membezakan pemimpin karismatik dan yang tidak karismatik. Pemimpin karismatik dikatakan mempunyai ciri-ciri seperti sifat Rasulullah iaitu keyakinan diri yang tinggi, berpengaruh, dan kesungguhan. Ada yang berpendapat pemimpin berkarisma mempunyai tujuh ciri penting:
(i) berwawasan jelas dan menarik atau ada naluri perjuangan
(ii) boleh berkomunikasi tentang wawasan mereka kepada pengikut
(iii) menunjukkan konsistensi dan penumpuan

(iv)Keyakinan diri, mereka yakin terhadap keputusan dan kebolehan mereka
(v) mengenali kekuatan diri sepenuhnya.

(vi) Keyakinan dan kesungguhan tentang wawasan, mereka sungguh yakin tentang wawasan mereka, rela mengambil risiko persendirian, mengeluarkan belanja, dan berkorban untuk mencapai wawasan itu.

(vii) Peka pada persekitaran: mereka sensitif terhadap kekangan persekitaran dan sumber.
Jelas, pemimpin berkarisma sahaja yang layak meneraju parti, kesatuan, memimpin bangsa seterusnya memertabatkan Islam sebaik mungkin. Walaupun tidak ada seorang pun manusia di dunia yang boleh menandingi kehebatan kepimpinan Rasulullah, percayalah Allah akan kurniakan seorang pemimpin yang berkarisma kepada kumpulan-kumpulan yang berada di jalan Allah. Kesimpulannya, cubalah jadi macam Rasulullah.. Pemimpin Teragung Sepanjang Zaman.


PenaMuslim

Email: penamuslim@gmail.com

Blog: http://imammaliki.blogspot.com/

Friendster: http://profiles.friendster.com/penamuslim

YM: king_duck86@yahoo.com

No comments:

Post a Comment