Sunday, October 30, 2011

Sahabat Dunia & Akhirat Pemberi Motivasi

Kisah Benar(Watak sebenar ditukar nama)

Rancangan empat sahabat(Mazlan, Zulkifli, Azman, Saiful) mendaki Gunung Angsi akhirnya menjadi kenyataan. Disebabkan hampir semua merupakan pendaki amatur(tak biasa daki gunung), Mazlan yang ada sedikit pengalaman mendaki bukit menjadi team leader. Mereka mula mendaki jam 9.30am.
9.20am
Mazlan: Okay, semua maklum Gunung Angsi ni tingginya 800 meter lebih. Mengikut info dari guard td, perjalanan naik hingga puncak akan ambil masa paling cepat 3 jam. Takut krem ke apa, kita panaskan badan dulu sebelum naik.
Saiful: Mampu ke nak naik ni.. risau pulak, dah la body aku paling besar ni. Kalo pengsan atas nanti susah korang.
Zulkifli: Apa guna kawan kalo tak boleh humban ko ke bawah..haha
Semua: Hahaha
 10.20am
Apabila sudah hampir sejam diperjalanan, kelihatan Saiful & Azman mula tercungap-cungap. Air mineral yg dibawa sudah mula diminum.
Mazlan: Kita rehat dulu yer. Daki pelan-pelan la, kalu terburu-buru memang hilang nafas la.
Semua: Ok.
Kemudian mereka menyambung pendakian selepas 5 minit berhenti rehat.
Disebabkan hampir semua tiada pengalaman mendaki, hampir setiap setengah jam mereka berehat. Menarik nafas sambil mengurut kaki masing-masing.
11.00am
Pendakian terhenti bila kaki Saiful krem. Sambil urut kaki masing-masing, Saiful mula bersuara.
Saiful: Wei korang, aku nak request sesuatu la..
Azman: Ko nak apa?
Saiful: Boleh tak kita daki sampai tengah jer. Aku tak larat la. Body aku tak sama macam korang. Semput beb.
Mazlan: Ala Saiful, body aku pon besar jugak. Ko boleh sampai puncak gunung ni.
Saiful: Ok, aku cuba dulu.. Kalo tak larat, kita  berenti tau.
 11.30am
Saiful: weh, memang aku tak larat ni, Mazlan jauh lagi ker puncak. Berenti kat sini jer la.
Mazlan mula memikirkan sesuatu supaya dapat memotivasikan Saiful yang mental dah down.
Mazlan: Saiful, ko tau tak gunung ni berapa tinggi?
Saiful: Td ko cakap 800 lebih kan..
Mazlan: Ha.. tau pon.. Ko tau tak kita duk ketinggian berapa ni? Kita sekarang duk di 600m. Sikit jer lagi nak sampai.. Dalam setengah jam boleh sampai ni, aku rasa kita cepat ni.. biasanya nak sampai 600m perlu 2 jam lebih, tapi kita dah sampai ketinggian 600m tak sampai 2 jam pon.
Saiful: Oo yeke.. laju jugak kita ni..hehehe
Selepas apa yang dikatakan Mazlan tu, Saiful, Azman & Zulkifli nampak lebih yakin untuk ke puncak.

12.00pm
Saiful: Mazlan, tadi ko kata setengah jam boleh sampai, aku tak nampak puncak pon lagi.. mcm jauh lagi jer..
Mazlan: Aku estimated je, tapi aku rasa dah tak lama ni, dalam 5 minit lagi sampai la..
Semua: Ok..

12.30pm
Zulkifli: Td ko kata 5 min Lan, ni dah setengah jam. Tak sampai-sampai pon.
Saiful: Ntah.. Ko ni Lan, cakap tipu jer..
Azman: aku dah putus harapan ni, setakat ni jer la.. kami tak larat la Lan.
Mazlan: sikit jer lagi tu.. jangan lemah semangat, kita lelaki beb.. 5 min lagi sampai la..
Semua: hahaha.. yer-yer la ko tu..
 1.10pm
Akhirnya mereka sampai ke puncak. Selepas menghirup udara nyaman & pemandangan indah di puncak, Saiful berjalan ke Mazlan yang berehat dibawah pokok. Mereka semua berkumpul.
Azman: Air aku dah habis, dahaga la masa daki td. Habis aku minum.
Zulkifli: Nah, ambil aku punya ni sikit.
Mazlan: Tu la korang, awal-awal td aku dah pesan, minum berpada-pada. Nanti nak turun kita singgah kat sungai kat tengah gunung tu, amik air.
Saiful: Bestnya duk atas ni, semua nampak, udara nyaman. Lan, mujur ko motivate aku masa naik td. Kalo aku stop td kat tengah td, memamg tak dapat la rasa suasana nyaman ni. Terima kasih Lan. 
Zulkifli: Ya la.. Thanks Lan, aku pun td dah putus harapan nak naik, sekarang rasa happy sgt sebab akhirnya dapat sampai puncak.
Selepas 1 jam di atas, mereka turun gunung Angsi tu. Dan sampai kaki gunung pukul 5.00pm.

Hidup perlukan motivasi

Itulah kisah 4 sahabat mendaki gunung. Mereka perlukan motivasi seperti mana Mazlan lakukan untuk sampai ke puncak. Begitu juga perjalanan hidup, perjalanan hidup perlukan dorongan. Hijrah kearah lebih baik perlukan dorongan, kawan-kawan yang sefikrah dengan kita. Kita perlukan kawan-kawan yang baik, kerana merekalah akan memberi inspirasi & pengaruh yang akan kita lakukan. Jika kawan kita baik, maka mudah & senanglah nak bertindak baik. Jika jahat kawan kita, maka senanglah kita lakukan kejahatan.


Dari Anas, dia menuturkan, Rasulullah SAW bersabda, ”Dan perumpamaan teman yang baik itu bagaikan berkawan dengan penjual minyak wangi kasturi, jika minyak kasturi itu tidak mengenaimu, maka kamu akan mencium bau wanginya. Dan perumpamaan teman yang jelek adalah seperti berkawan dengan tukang besi, jika kamu tidak kena arangnya (percikannya), maka kamu akan terkena asapnya.” 
(HR. Abu Dawud)

Soleh/Solehah kita bukan untuk diri sendiri sahaja


Tuntutan memperbayakkan silaturrahim ada termaktub dlm al-Quran,

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." 
Al-Hujurat:13

Carilah kawan-kawan sebanyak mungkin. Pastikan kawan kita itu mampu memberi pengaruh baik kepada kita. Walaupun begitu, jangan jauhi kawan-kawan yang leka. Mereka perlukan menasihat kita.

“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” 
(H.R al-Hakim)

~Jika tidak mampu menjadi yang sempurna, berusahalah jadi yang terbaik~ 

Wednesday, October 26, 2011

Pakaian Bakal Bidadari Syurga


'Alhamdulillah, semoga kita semua terus berada dibawah rahmat-Nya'

Jika bertanyakan kepada semua wanita Islam tentang bidadari syurga, pastinya mereka cemburu. Manakan tidaknya, bidadari syurga mempunyai:
  1. Mahkotanya lebih baik daripada apa yang ada didunia.
  2. Rambut bidadari itu sangat panjang dan cantik.
  3. Mata bidadari sangat putih dan korneanya sangat hitam.
  4. Wajah bidadari cantik begitu cerah dan bercahaya.
  5. Ludah bidadari bagai madu, sehingga mampu membuat lautan menjadi manis.
  6. Tangan bidadari itu sangat indah dan bercahaya.
  7. Kukunya sebaik-baik perhiasan.
  8. Kulit bidadari sangatlah halus dan lembut, bagaikan putih telur yang sangat lembut.
  9. Tubuhnya suci dari seluruh kotoran wanita dunia.
Macamana kepada kaum hawa? Cemburu ke? Siapa yang ada ciri-ciri bidadari tu? Sudah pasti tidak ada, inilah yang dikatakan nikmat syurga untuk lelaki. 

Perlu cemburu ke?
Bagi wanita, anda tidak perlu cemburu. Ada jalan untuk menjadi lebih baik dari bidadari. Rasulullah Sallallahu'alaihi wa Sallam pernah bersabda:

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi Muhammad S.A.W, katanya di dalam sebuah hadis yang panjang: Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?" Baginda menjawab, "Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin". Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?" Baginda menjawab, "Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning... (hingga akhir hadis)" [Riwayat al-Tabrani]



Bagaimana mahu jadi lebih baik dari bidadari?
Allah itu Maha Adil. Setiap apa yang difirman akan benar-benar dilaksanakan. Percayalah, dengan usaha kerana-Nya, wanita solehah akan diberi ganjaran setimpal. Antara ciri-ciri wanita yang dikatakan bakal bidadari ini adalah menjaga auratnya. Jika diperhatikan senarai ciri-ciri bidadari diatas, hampir semuanya melibatkan aurat; rambut, kulit, tubuh dan lain-lain. Jagalah aurat, ia merupakan jalan menjadi ketua bidadari syurga.

Aurat menurut al-Quran.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." 
An-Nur:31
  1. Jangan perlihatkan perhiasan tubuh (bentuk badan, lain-lain anggota selain wajah & tapak tangan). Apa yang ada di wanita adalah perhiasan, jagalah sebaik-baiknya. 
  2. Menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala. Labuhkan tudung hingga menutup kawasan dada. Pastikan tiada pandangan bukan mahram mampu melihat bentuk kawasan dada. 
  3. Perhiasan tubuh wanita hanya boleh dilihat oleh mahram; Suami, bapa, bapa mertua, anak-anak, anak-anak tiri, adik beradik, anak saudara, perempuan-perempuan Islam, hamba-hamba, orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, dan kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.
  4. Jangan memakai perhiasan dikaki yang mampu dilihat atau didengar oleh bukan mahram seperti memakai gelang yang mempunyai loceng. 
Aurat menurut Hadis
  1.  Janganlah berpakaian nipis & ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh. Ia boleh menyebabkan kaum adam tidak senang melihat sehingga cenderung kaum lelaki kepada maksiat. Dalam kata lain, janganlah membuat gangguan seksual kepada lelaki.
  2. Janganlah menyanggul rambut dalam tudung seperti bonggol-bonggol unta. Jelas dalam hadis melarang pemakaian tudung seperti ini.
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)

“Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka (isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (nipis & ketat). Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”- (Riwayat Ahmad)

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)

Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak.

Kenapa perlu tutup aurat?
Setiap apa yang dilarang,mesti ada hikmahnya. Dunia hari ini makin teruk, segenap penjuru punyai syaitan bertopengkan manusia. Susah nak dibezakan manusia mana yang bertaqwa dan mana pula yang bermuka-muka. Peliharalah aurat, takut-takut manusia separuh syaitan ini mengambil kesempatan. Cegahlah jenayah seksual dengan cara menjaga aurat.

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)

Jadikanlah pakaian yang sempurna tu sebagai baju seragam yang melambangkan identiti Islam. Tanpa identiti, siaplah kita untuk dipandang Allah, sedangkan Allah berfirman tentang perhiasan manusia adalah pakaian menutup aurat.

" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)

Akhir sekali, menutup aurat bukan sesuatu pilihan. Jika hendak menunggu seru, menunggu hidayah sampai bila? Allah telah kurniakan kepada hamba-hambanya masa untuk berubah. Perlukah kita tunggu sakit baru hendak berubah, tidak sama sekali. Ia bukanlah jalan terbaik, mati bukan perkara yang boleh dijangka, jika telah sampai ajalnya, maka tidak akan ada pertangguhan masa. Firman Allah di dalam al-Quran:

"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan." Al-A'raf:34

Hidup ini bukan lama, hidup ini hanya persinggahan. Persinggahan untuk menguji sejauh mana taqwa hamba-hamba Allah. Ia bukanlah tempat berfesyen & juga berhibur, tiada makna jika kamu cantik, kaya harta dunia tetapi tidak tutup aurat dan miskin hati.

"Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk : 2)

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu"  (Riwayat Muslim)

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)

p/s: Bagi lelaki, jaga pandangan anda!!

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." An-Nur:30

~Jika tidak mampu menjadi yang sempurna, berusahalah jadi yang terbaik~ 

Sunday, August 07, 2011

Kenali 10 pembaca al-Quran yang terkenal


Jom kenali 10 pembaca al-Quran yang terkenal.

1.Sheikh Mustafa Ismael

  • Dilahirkan di Mit Gazal, kawasan berdekatan Tanta di Mesir pada 17 Jun 1905.
  • Menjadi hafiz pada umur 10 tahun.
  • Menuntut ilmu di Institut Ahmadi, Tanta di bidanh Tafsir, Qiraat & Fiqh.
  • Bacaan al-Quran dia amat digemari oleh raja Mesir ketika itu, Raja Faruq sehingga dijemput memperdengarkan bacaan Quran di istana setiap bulan Ramadhan.
  • Antara pembaca Quran untuk Universiti Al-Azhar paling lama.
  • Meninggal dunia pada 26 Disember 1978.


2.Sheikh Mahmoud Khalil Al Hussary

  • Dilahirkan pada tahun 1917 di Shubra An-Namlah, Tanta Mesir. Meninggal pada usia 63 tahun pada tahun 1980.
  • Menjadi hafiz pada umur 11 tahun.
  • Menuntut ilmu Qiraat di bawah Sheikh Mustafa Al-Murawwij di Masjid Nabawi.
  • Menuntut ilmu sains al-Quran & Syariah di Universti Al-Azhar.
  • Amat meminati seni Qiraat sehingga menubuhkan sekolah Quran di kawasan tempat tinggalnya.
  • Pernah mengetui misi melindungi Al-Quran dari diubah & dipindah maksud.
  • Dikenang sebagai Ketua Pembaca Quran Sedunia selama 20 tahun.
  • Pernah menjadi penyelidik akademik untuk ulama' terkemuka Universiti Al-Azhar.
  • Pakar ilmu sains al-Quran, Syariah & Qiraat.
  • Menjadi pembaca Quran untuk Masjid Nabawi & Masjid Al-Husayn selama lebih 30 tahun.
  • Menulis lebih 11 buku tentang Sains Al-Quran.


3.Sheikh Abdul Basit 'Abd Samad

  • Dilahirkan pada 1927 di Armant, selatan Mesir.  Meninggal pada 1988.
  • Satu-satunya Qari yang menang pertandingan Qiraat peringkat dunia tiga kali berturut-turut pada awal 1970-an.
  • Hafiz pertama merekodkan bacaan al-Quran.
  • Kerjaya diteruskan oleh tiga orang anaknya Yasir, Hisham, and Tariq.


4.Sheikh Salah Al Budair
 
  • Nama penuhnya adalah Sheikh Salah Ibn Mohamed Al Budair 
  • Dilahirkan di Al Hafhouf, Saudi Arabia.
  • Kini bertugas sebagai imam tetap di Masjid Nabawi, Madinah.
  • Mula menjadi imam ketika di universiti lagi.
  • Menuntut ilmu Syariah di Al Oum Mohamed Ben Saud Islamic University.
  • Selepas tamat belajar, terus bertugas di Institut Mahkamah Tinggi Arab Saudi.
  • Kerjaya imamnya bermula di Addamam, Arryad dan akhirnya di Masjid Nabawi, Madinah.


5.Sheikh Salah Bukhatir
 
  • Menjadi hafiz pada umur belasan tahun. 
  • Suara lunak & bacaan Qurannya terkenal sekitar masjid-masjid di Mesir sebelum ditugaskan menjadi imam di Masjid Kasimi dan kini di Masjid Nabawi, Madinah.
  • Bacaan al-Qurannya hampir menyamai bacaan Sheikh Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz as-Sudais, Imam Masjidil Haram.


6.Sheikh Muhammad Jebril
 
  • Nama penuhnya adalah Muhammad Al Said Hussayn Jebril. Lebih dikenali sebagai Sheikh Jebril.
  • Mendapat Ijazah Sarjana(B.A) di Fakulti Islam di Universiti Al-Azhar. 
  • Menjadi hafiz ketiak berumur 9 tahun.
  • Pernah beberapa kali memenangi pertandingan bacaan Quran di Mesir & peringkat antarabangsa.
  • Mula bertugas sebagai imam di masjid tertua di Mesir, Masjid Amr Ibn Al’Ass di Cairo pada 1988. 
  • Merupakan professor di universiti di Jordan.
  • Dikenang sebagai pembaca doa Qunut paling baik.


7.Sheikh Fahd Al Kanderi

  • Dilahirkan di Kuwait pada 1982.
  • Nama penuhnya adalah Fahd bin Salem bin Ali Al-Kanderi.
  • Mula menjadi hafiz pada usia 16 tahun.
  • Kini bertugas sebagai imam di Masjid Kabeer, Kuwait bersama Sheikh Mishari Rashid al-Afasi.


8.Sheikh Mishari Rashid al-Afasi

  • Dilahirkan di Kuwait pada 5 September 1976.
  • Pernah menjadi Qari Kuwait.
  • Kini bertugas sebagai imam di Masjid Kabeer, Kuwait bersama Sheikh Fahd Al Kanderi.
  • Pernah menuntut ilmu di Kolej Pengajian Quran & Islam di Universiti Madinah. 
  • Pernah mengeluarkan album nasyid.


9.Sheikh Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz as-Sudais 
 
  • Dilahirkan di Arab Saudi pada 1960.
  • Sekarang bertugas sebagai ketua imam di Masjidil Haram, Mekah.
  • Pernah dianugerahkan "Islamic Personality Of the Year" pada tahun 2005. 
  • Menjadi hafiz pada usia 12 tahun.
  • Pernah menuntut di Al Muthana Bin Harith Elementary School, Riyadh Scientific Institution
  • Mendapat Ijazah Syariah di Universiti Riyadh pada 1983, Ijazah Sarjana dalam bidang Islamic Fundamentals dari Kolej Shariah, Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud pada 1987 dan menerima Ph.D. dalam bidang Islamic Shariah dari Umm al-Qura University pada 1995.
  • Pernah bertugas di Universiti Riyadh sebagai pembantu professor.
  • Bertugas bersama Sheikh Saud Al-Shuraim untuk solat Taraweeh dari tahun 1991 sehingga kini.


10.Sheikh Saud Al-Shuraim

  • Nama penuhnya adalah Dr Sheikh Abu Ibrahim Sa'ud ibn Ibrahim ibn Muhammad ash-Shuraim An-Najd.
  • Sekarang bertugas sebagai ketua imam di Masjidil Haram, Mekah.
  • Pernah menuntut di Areen schools, Modern schools, Universiti Al Yarmouk. 
  • Menjadi hafiz ketika di Universiti Al Yarmouk pada tahun 1983. 
  • Belajar Usuluddin di Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud di Riyadh, tamat pada 1988. 
  • Belajar di Institut Ma'had Al-'aali Lilqadhah & menerima Ijazah Sarjana pada 1992.
  • Dilantik menjadi Imam and Khateeb di Masjid al-Haram oleh Raja Fahad bin AbdulAzeez Al-Saud. 
  • Pada 1992, beliau dilantik menjadi hakim di Mahkamah Tinggi Mekah.
  • Pada 1993, beliau ditugaskan menjadi guru di Masjidil Haram.
  • Pada 1995, beliau mendapat Ijazah Kedoktoran dari Umm al-Qura University, Makkah. Selepas itu, mula bertugas sebagai professor di Umm al-Qura University, Makkah. 
  • Kini beliau bertugas sebagai dekan di Fakulti Shari'ah dan Pengajian Islami dan dinaik pangkat menjadi Professor Pakar dalam bidang Fiqh.
  • Beliau merupakan sepupu kepada ketua imam Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz as-Sudai.
 







 

Monday, August 01, 2011

Ramadhan Kareem!!


Ramadhan Kareem!!!
Moga kita semua diberkati di bulan yang penuh rahmat ini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”  
Al-Baqarah:183.

 
Mengelamun seketika bila teringatkan memori Ramadhan sepanjang hidup ini. Sudah 26 kali rupanya hidup ini berdepan Ramadhan. Tapi setiap kali Ramadhan pasti ada sahaja kesalahan yang aku buat. Target 0 dosa sentiasa terlepas. Pastinya kita semua inginkan Ramadhan ini lebih bermakna dari Ramadhan lepas. Tak salah kita target 0 dosa, asalkan kita usaha kearah itu. 

Ramadhan bulan tarbiah
Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan menahan diri dari lapar & dahaga di siang hari, ia merupakan bulan rahmat. Bulan yang dijanjikan tawaran pahala yang berlipat kali ganda. Jangan lupa menahan diri dari perbuatan maksiat yang lain hingga boleh menjejas prestasi Ramadhan kita.

"Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. Aku ini puasa." 
(HR Bukhari)

Yakinlah dengan janji-janji Allah, tingkatkan prestasi ibadah kearah syurga tanpa halangan dari hasutan syaitan sebagaimana sabda Rasulullah:

"Apabila telah tiba Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan."
(HR Bukhari & Muslim)

 Bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang terbaik untuk tarbiah diri kita supaya berhijrah kepada lebih baik. Jika sebelum ini diri kita kurang baik, hijrahlah kepada lebih baik. Perbanyakkan doa & taubat, insyaAllah diterima taubat & permohonan kita.

"Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu."
(HR Ibn Majah, Ibn Hibban & Baihaqi)

"Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir." (HR Bukhari & Tirmidzi)

Memori Ramadhan

Pengalaman dikala Ramadhan ini cukup indah. Macam-macam ragam, karenah orang sekeliling. Kenangan manis ada, pahit ada, menarik ada, sedih ada & lawak pun ada. Antaranya:

Puasa ketika kecil - Malas bersahur & tak sabar berbuka. Itulah karenah sebenar. Bila mak atau ayah kejut bangun, bukan main liat lagi nak bangun. Paling liat adalah adik aku paling bongsu. Dia paling susah nak makan, sampai kena pujuk. Oh ya, lauk & air ketika sahur memang special, khas untuk orang susah sahur. Susahnya mak ayah nak didik kami adik beradik. Moga mereka selalu dibahagiakan Allah.
Nak masuk je waktu berbuka, kamilah paling sibuk. Setengah jam sebelum berbuka dah ready makanan & minuman didepan mata. Moreh pulak awal-awal lagi dah beli apa yang berkenan dimulut di siang hari. Aiskrim, coklat, kerepek, roti sudah menjadi lumrah moreh.

Puasa ketika remaja - Puasa ketika remaja(sekolah) paling tak best. Puasa kat asrama, makan apa yang ada sahaja walaupun banyak juga memorinya.

Puasa ketika mahasiswa - Target sentiasa 0 dosa. Mesti ada yang terlepas. Memori berbuka di masjid-masjid, di rumah bujang menggamit perasan syukur. 

Jangan lepaskan peluang keuntungan di bulan Ramadhan ini. Jom lumba dapatkan sebanyak mungkin pahala!!

Sunday, July 10, 2011

9 Julai 2011 - BERSIH 2.0 dalam lipatan sejarah


"dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)".  Al-An'aam:152

Apa itu BERSIH?

BERSIH adalah Jawatankuasa Tindakan Bersama untuk Reformasi Pilihan Raya, yang telah ditubuhkan pada bulan Julai 2005, dan objektif adalah menggerak pembaharuan menyeluruh mengenai proses pilihan raya di Malaysia. Jawatankuasa ini terdiri daripada ahli-ahli dari parti-parti politik, serta wakil-wakil dari NGO berikut: Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Women’s Development Collective (WDC) dan Writers Alliance for Media Independence (WAMI). 

Kisah BERSIH 2011

BERSIH menuntut 8 perubahan dalam sistem pilihanraya:
1. Bersihkan senarai undi
2. Mereformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Masa kempen minima 21 hari
5. Akses media yang bebas dan adil
6. Kukuhkan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor


Jika diamati 8 tuntutan ini, ianya bukan perkara yang mustahil dalam melaksanakannya, malah ia adalah untuk kebaikan bersama untuk menjadikan sistem pilihanraya lebih telus dan adil. Disebabkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia(SPRM) dengan campur tangan pihak kerajaan tidak mengendahkan tuntutan ini, jawatankuasa BERSIH merancang perhimpunan ke Istana Negara untuk menyerahan memorandum BERSIH pada 9 Julai 2011. Rancangan ini tidak disenangi pihak berkuasa. Apa saja barang yang melibatkan BERSIH dirampas termasuk baju BERSIH, mahupun baju berwarna kuning.

Selepas pelbagai kecaman dibuat keatas BERSIH kerana dikatakan akan berlaku kekacauan disebabkan perhimpunan itu. YDP Agong Malaysia, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya BERSIH & pihak kerajaan mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah ini.

"Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun." - YDP Agong Malaysia, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selepas itu, tiga tokoh BERSIH, Datuk Ambiga, Datuk A. Samad Said & Zaid Kamaruddin dititah supaya mengadap Agong selepas pihak BERSIH berusaha untuk berbincang dengan Agong. Dalam perbincangan itu, Agong mencadangkan BERSIH untuk mengadakan perhimpunan di stadium untuk mengelak lebih kekacauan berlaku dengan kerjasama pihak kerajaan.

Malangnya, pihak BERSIH tidak dapat mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka atas alasan BERSIH bukan badan yang berdaftar.

"You lie to us. You’ve made a great mistake”- BERSIH

Walaupun pelbagai kecaman, tuduhan & melebelkan sebagai pemberontak jalanan, BERSIH tetap berkeras mahu adakan perhimpunan di Stadium Merdeka mahupun jalanan pada 9 Julai 2011. BERSIH merasakan mereka ditipu, dimain-mainkan oleh  kerajaan selepas titah Agong tidak dihiraukan. 

Bermula 7 Julai 2011, kebanyakan polis & FRU diseluruh negara mendapat arahan ke K. Lumpur untuk melumpuhkan percubaan pihak BERSIH untuk mengadakan perhimpunan.  Semua jalan ke ibunegara mula diadakan sekatan. Trak-trak polis dari seluruh negara mula bergerak ibunegara, peserta perhimpunan pun mulakan perjalanan ke K.Lumpur, jalan raya meriah seakan-akan ada perayaan.
 
Pada 8 Julai pihak berkuasa memperhebat sekatan jalanraya, semua jalan-jalan utama ke K.Lumpur ditutup walaupun pada asalnya hanyalah sekatan. Lebuhraya-lebuhraya utama diadakan sekatan. Kenderaan diperiksa secara teliti, beg-beg diperiksa, telefon bimbit & laptop diperiksa. Disemua jalan menjadi sesak sepanjang hari.  Kebanyakan pengguna lebuhraya kesal akan sekatan, menyusahkan orang ramai dalam kegiatan harian. Ada yang sampai pagi masih di dalam kesesakan jalanraya. Dalam hal ini, pihak berkuasa patut disalahkan kerana BERSIH belum bertindak apa-apa. Keadaan ini ibarat 'kerana nyamuk kelambu dibakar'. Pihak berkuasa & beberapa pihak cuba menyalahkan BERSIH atas segala ksesusahan, padahal mereka sendiri yang mencipta masalah itu.

Pada 9 Julai 2011, bandaraya K.Lumpur lumpuh. Orang ramai tidak dapat ke ibunegara sendiri kerana disekat pihak berkuasa. Perniagaan juga lumpuh. Kedai-kedai & pusat belibelah lengang. BERSIH belum bermula, pihak berkuasa menyulitkan keadaan.

"Saya di sini untuk lihat betapa banyak yang penjaja rugi kerana orang ramai tidak berani datang sini. Jika penjaja kerugian kerana jalan ditutup siapa yang patut mereka tuntut kerugian itu. Mereka patut tuntut daripada kerajaan,”
- Mohd Hafifudin, Pengerusi Persatuan Penjaja Bumiputera Masjid India.
 
Demokrasi acuan BN

Walaupun pelbagai sekatan diadakan, lebih 50,000(anggaran hampir 100,000) peserta perhimpunan ini berjaya juga mengadakan perhimpunan di K. Lumpur untuk menghala ke Stadium Merdeka. Malangnya, demokrasi BN ada acuan sendiri. Peserta dihalau, dipukul, ditahan oleh pihak berkuasa dalam usaha  BERSIH mengadakan perhimpunan aman. Peserta juga dilarang solat berjemaah di Masjid Wilayah Persekutuan & Masjid Jamek. 

Pada pukul 4pm, peserta BERSIH mula beredar pulang atas arahan ketua-ketua kumpulan. BERSIH punyai disiplin yang bagus, taat pada ketua kumpulan, tepati janji & arahan. Tetapi malangnya pihak berkuasa pula mengepung peserta perhimpuan ini sehingga keadaan menjadi kembali huru hara. Ada juga peserta yang sempat bersalam, berdamai dengan pihak berkuasa. Ya, mereka mahukan perhimpunan aman, bukan huru hara.   

Layanan tahanan

 
Video dari Al-Jazeera

Walaupun apa saje nama perhimpunan BERSIH semalam diberikan, perhimpunan haram atau huru hara sekalipun, pihak berkuasa tiada hak hendak pukul & seksa orang sesuka hati. Jawablah di akhirat nanti. Tak kira siapa yang terlibat secara langsung atau tidak. Jika kita merelakan aksi pukul & seksa pihak berkuasa itu, maknanya ada sesuatu yg tak kena pada perikemanusiaan kita. Jangan disebabkan berbeza pandangan dalam hal lain, kita butakan mata dan lupa cara menghormati hak orang lain.
Tidak nafikan kebaikan pihak berkuasa selepas menahan penunjuk perasaan. Disediakan tempat solat & makanan untuk tahanan. Tetapi dlm beberapa hal seperti proses sekatan jalan, penahanan & penggunaan senjata dlm perhimpunan BERSIH amat mengecewakan & menyedihkan. Beberapa orang cedera selepas ditembak dengan gas canister antaranya Dato Seri Anwar Ibrahim, MP Khalid Samad dll. Beberapa orang juga patah kaki pabila bergelut dengan polis dan dipaksa berjalan. Sumber juga memaklumkan Timb. Presiden PAS, Mat Sabu dilanggar dengan kereta polis ketika menunggang motorsikal. Walaupun niat apa sekalipun, cara yang diambil pihak berkuasa amat tidak patut.

Niat Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said untuk menyampaikan memorandum pada Agong juga tidak kesampaian bila pihak berkuasa menghalangnya di kawasan berhampiran istana. Beliau yang kesal dengan tindakan polis menghalau kumpulannya walaupun YDP Agong bersetuju untuk menerima memorandum ketika beliau mengadap baginda dua hari sebelum berhimpun. Ni videonya:
 

Kenapa tak boleh perhimpunan aman?
 
Persoalan sekarang, kenapa pihak berkuasa sangat anti-BERSIH? Jika setiap kali perarakan Maulidur Rasul tahunan di KL boleh dihadiri 100,000 org dengan aman. Tiada sebab perhimpunan BERSIH juga boleh dilakukan dgn aman. BERSIH punyai peraturan keselamatan & pencegahan, punyai pengikut yg mendengar arahan ketua & mengikut masa berhimpunan yg ditetapkan. Lgpun sistem undang-undang membenarkan. Kenapa perlu bazir masa & duit pihak berkuasa & org lain utk halang perhimpunan ini. Adakah negara ini hanya iktiraf program BN walaupun ianya konsert muzik yg nyata2 haram?

Untuk pengetahuan, isu BERSIH adalah perkara global, perhimpunan BERSIH ini bukan sahaja diadakan di K.Lumpur, malah diserata dunia antaranya Kaherah(Mesir), Ottawa(Canada), New York(US), London(England), Geneva(Switzerland), Paris(Perancis), Osaka(Jepun), Taipei(Taiwan), Hong Kong, Perth, Melbourne, Adelaide & Canberra (Australia). Semua perhimpunan aman, kecuali Malaysia yang diganggu pihak berkuasa. Boleh lihat di sini.

Perhimpunan BERSIH mendapat liputan luar biasa. Seperti biasa pihak berkuasa & media utama Malaysia, Media Prima, TV Kerajaan, Utusan, B. Harian & Astro menafikan hak rakyat Malaysia untuk mendapat fakta yang benar. Terdapat liputan berita dari luar negara:
1.Al-Jazeera: Link
2.The Australian: Link
3.EuroNews: Link
4.CNN: Link
5.Reuters: Link 
6.France24: Link 
7.BBC: Link 
8.Guardian: Link 
9.The Independent: Link

Walau apa pun respon dan persepsi orang terhadap perhimpunan ini, BERSIH 2.0 kini ada dalam lipatan sejarah. Jika matlamatnya tercapai untuk menjadikan pilihanraya Malaysia adil & telus, pastinya peristiwa 9 Julai 2011 ini termasuk dalam buku sejarah Malaysia pada masa akan datang. Sejarah tidak boleh dipadam & hati peserta perhimpunan belum tentu dapat diubati. BERSIH - A day to remember:

Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya, seseorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid iaitu sangat mencintainya dan selalu mendirikan sembahyang berjemaah, dua orang yang saling mengasihi kerana Allah iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yang elok untuk melakukan kejahatan tetapi dia berkata: Aku takut kepada Allah!, seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kanan tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dari kedua matanya.
(Sahih Muslim)